Thursday 22 September 2011

Refleksi : Pengajaran Tatabahasa Bahasa Melayu


Semasa saya mengajarkan murid-murid  kepada tatabahasa dengan pelbagai kaedah , teknik dan pendekatan , saya dapati bahawa kebiasaannya murid-murid kurang berminat untuk belajar tatabahasa.

Pengajaran tatabahasa yang dijalankan di dalam bilik darjah selalunya kurang menarik dan membosankan murid-murid, malahan terdapat  juga guru yang kurang berminat untuk mengajar murid dalam bahagian ini. Isu yang biasanya didapati di sekolah ialah pengajaran tatabahasa diajarkan secara induktif. Hal ini bermakna aspek tatabahasa perlulah diajarkan secara langsung dengan menerangkan hukum atau rumus tatabahasa iaitu sesuatu yang khusus terlebih dahulu, kemudian barulah dibincangkan contoh-contohnya yang umum. Sepatutnya pengajaran tatabahasa boleh dipelbagaikan bentuknya. Oleh itu, guru-guru perlu kreatif dan kritis untuk memilih teknik  atau kaedah pengajaran yang menarik dan bekesan kepada murid-murid. Bagi murid pula, mereka kebiasaannya kurang berminat untuk belajar tatabahasa kerana menganggap perkara itu menyusahkan tambahan pula teknik dan kaedah  yang digunakan tidak menarik perhatian murid.

Sebenarnya kita terdapat banyak teknik dan kaedah  yang boleh digunakan untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid. Sebagai guru harus berbincang dengan pelajar itu sendiri tentang teknik dan kaedah yang disukai oleh mereka. Berdasarkan pengalaman saya, murid-murid lebih berminat dengan teknik yang menarik seperti nyayian , lakonan, dialog, dan kuiz . Oleh itu, antara teknik yang menarik dan sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran tatabahasa adalah menerusi teknik nyayian. Jadi, perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh guru ialah teknik tersebut perlulah menarik perhatian pelajar dan tidak membosankan mereka. Selain itu, teknik pengajaran juga perlu berpusatkan pelajar dan guru cuma menjadi fasilitator atau pembimbing mereka. Pendekatan yang selalu dicadangkan oleh pakar-pakar pengajaran tatabahasa adalah dengan menggunakan pendekatan deduktif iaitu bermula dengan generalisasi atau contoh-contoh, kemudian barulah dibincangkan rumus atau peraturan yang khusus.

Teknik pengajaran tatabahasa yang menarik dan tidak membosankan pelajar ialah teknik nyanyian atau lagu. Hal ini demikian kerana, banyak lagu yang mengandungi lirik yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran. Di samping menyanyikan lagu, murid-murid diminta merujuk lirik lagu. Oleh itu, guru perlu menyediakan lirik lagu tersebut terlebih dahulu dan mengedarkannya kepada pelajar. Berikan arahan dan bincangkan tugasan yang perlu dibuat oleh mereka selepas menyanyikan lagu tersebut. Sebagai contohnya, guru-guru boleh meminta murid menyenaraikan jenis-jenis kata yang terdapat dalam lirik lagu itu seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata sendi. Selain itu, gunakan lirik lagu untuk mengesan kesalahan tatabahasa untuk mengelakkan rasa bosan para pelajar untuk mempelajari tatabahasa.


Selain teknik nyanyian, guru-guru juga boleh menggunakan keratan akhbar atau majalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Karya-karya komsas selain sajak seperti cerpen, prosa tradisional, novel, pantun, syair dan gurindam juga boleh digunakan untuk pegajaran tatabahasa. Hal ini bermakna, semasa pengajaran komponen sastera, guru-guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa dalam perbincangan pelajar. Dengan kata lain, pengajaran tatabahasa tidak diajarkan secara langsung tetapi secara tidak langsung. Hal ini dapat mengurangkan masalah kebosanan dan kurang minat murid untuk belajar tatabahasa.Tambahan pula, guru-guru yang menggunakan keratan akhbar, majalah atau risalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Jadi secara tidak langsung, pelajar-pelajar mendapat manfaat yang berganda iaitu selain memahami atau mencari isi penting daripada petikan itu, mereka juga dapat mengesan kesalahan-kesalahan bahasa yang terdapat di dalamnya. Sekurang-kurangnya teknik ini kuranglah membosankan pelajar kerana guru telah menetapkan fokus yang hendak dibincangkan daripada sesuatu bahan atau petikan tersebut.
Sebagai kesimpulannya, guru sebagai arkitek bangsa, kita bertanggungjawab mendidik generasi muda ,maka kita perlulah sentiasa bersedia mengorbankan diri dan masa terhadap murid-murid agar mereka memperolehi pengetahuan dan menguasai kemahiran serta mempastikan diri tercapai  objektif dalam P&P. Inilah akan meningkatkan profesionalisme kita dan juga mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan .


No comments:

Post a Comment